SAYA memanglah seorang pembaca buku yang lambat. Kurang tepat—saya adalah pengunyah buku yang lumat—atau mungkin, lebih tepat: saya adalah peleka buku sepenuh nikmat.Benar, saya bukanlah pembaca yang pelari. Bukan kerana saya tidak ingin cepat tiba ke akhir buku, tapi lebih kerana saya ingin lama bersapa—dan mendakap—setiap kata yang berlinang nikmat.Kata-kata adalah kerdip fikir dan bisik tafsir; kata-kata juga adalah titian seni ke ilmu murni. Makanya, mengapa harus gopoh berlari, meninggal atau tertinggal pesan yang sakti? Mengapa tidak cuba sabar dan tekun berhenti, khusyuk meneliti, daripada hanya melihat (atau terlihat) imbas pepohon, kabus jendela atau kelibat insan!Ketika membaca, saya ingin benar menikmati permata ilmu, dan lebih bermakna, jika saya dapat juga mendengar debur ombak di pantai qalbu. Juga, mendengar senandung alam semesta.Selalunya, serentak saya mengunyah tiga empat buku (ia boleh suara Tariq Ramadan atau telahan J. Esposito; ia juga boleh bentak Ravi Batra atau deklamasi Rendra). Saya menikmati setiap yang dilihat, mendengar getar irama kekata, menekuni degup qalbu syahdu berseru, juga belajar menggali falsafi baru.Buku yang baik—tua dipandang, muda disayang. Setiap halamannya adalah pepintu baru, penyegar bijak, pendidik luhur, pendekat matlamat. Buku itu pengalaman. Jika berduka isi, ia sepantun lelaki sedu atau wanita pilu. Jika bergelora isi, ia adalah pelaut di gelombang atau pendaki di puncak suram.Begitulah sesedikitnya—kalau benarlah sedikit—jasa buku terpilih. Ia lambat dibaca, tapi amat bergema gaungnya. Dan dalam khusyuk tertentu buku menyemai mimpi yang dahsyat, menuai celek yang nikmat.Cuma, elakkanlah musim jemu—seperti dijauhkan saya dari pengkhianat, buku tebal yang tipis. Sebaiknya, curahilah saya halaman nan wangi—seperti dekatkan saya kepada adegan terindah, buku yang tipis tapi yang sasa.Makanya, temukan saya khazanah Usman; pimpin saya ke rubaiyat Khayam; dekatkan saya ke api Rumi; syahdui saya ke ayat suci. Dan jangan lupa, jauhkan saya dari kuasawan licik, niagawan berpeta dan bangsawan pelupa!Begitulah ragam saya membaca. Berbisik yang lambat, mengunyah yang lumat.-A.SAMAD SAID,MENDENGAR OMBAK DI PANTAI QALBU
A.samad said...seorang tokoh ilmuaan yang terkenal dengan sastera melayu, saya mengenali nama beliau semasa saya berumur 10 tahun...beliau menjadi inspirasi saya untuk membaca buku dikala itu saya baru merangkak-rangkak mengenal perkataan yang baru mahupun yang pendek...saya akui saya sangat lambat membaca dan menulis, sedangkan budak yang sebaya saya sangat hebat dalam membaca karangan dan menulis karangan. Pabila diejek oleh guru dan kawan sepermainan tidak menjatuhkan semangat saya untuk terus mengeja dan membaca buku malahan saya jadikan ia sebagai cabaran untuk saya terus maju ke hadapan. Saya cuma berpegang kepada satu kata iaitu apa yang berlaku pada hari ini pasti ada hikmahnya, ya saya sedang menikmati hikmah yang diberi di atas sana. Walaupun lama menunggu tetapi kesabaran mengajar saya erti kehidupan. Dari membaca kita memdapat banyak ilmu. Umie seorang yang sabar menghadapi dugaan hidup, sabar mengajar anak dia yang seorang ini. Bergenang airmata seorang ibu pabila mengetahui anak perempuan dia tidak tahu membaca. Mulai hari itu, saya nekad untuk tebus kembali airmata umie, walaupun lambat tetapi membuahkan hasil. Alhamdulilah, segulung diploma untuk umie dan sekarang ijazah pertama saya pula akan diberi kepada umie, insyallah.


No comments:
Post a Comment